PUTRAJAYA – Seramai 44 anggota dan pegawai polis ditempatkan di 11 sekolah sekitar Putrajaya bagi mengawal pergerakan pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, penempatan anggota dan pegawai itu ditempatkan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
Katanya, bagi memastikan dan memantau prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, anggota dan pegawai ditempatkan di luar pagar serta dalam sekolah.
“Dua anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya serta Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ditempatkan di setiap sekolah dan mereka ini akan menegur sekiranya ada yang tidak mematuhi SOP.
“Hasil tinjuan yang kita lakukan hari ini, semua sekolah di Putrajaya mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya pengawas peperiksaan memakai alat pelindung muka, pelitup muka serta sarung tangan.
“Selain itu, tidak ada pergerakan daripada guru-guru ini untuk mengawasi sepanjang masa serta menjaga jarak 1.5 meter antara pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Fadzil turut memaklumkan, seramai 1,726 calon termasuk calon persendirian menduduki peperiksaan di sekolah sekitar Putrajaya yang berlangsung hari ini sehingga 25 Mac ini.
“Sebanyak 11 sekolah membabitkan 1,616 calon manakala 110 pula adalah calon persendirian yang menghadapi peperiksaan SPM di Putrajaya,” katanya.-K!ONLINE