IPOH – “Tolong doakan kami dapat jawab dengan tenang.”
Itu harapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Danial Ierfan Hazmi, 18, calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini.
Menurut Danial Ierfan, dia bersedia untuk menghadapi peperiksaan besar itu setelah tertangguh beberapa bulan ekoran pandemik Covid-19.
“Saya tidak sabar dan yakin (untuk jawab peperiksaan) kerana memang sudah lama tunggu hari ini.
“Harap semua orang doakan kami kerana kami adalah pelajar pertama yang menduduki peperiksaan besar dalam tempoh Covid-19,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan SMK Anderson di sini hari ini.
Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi S. Kumaran, 18, dengan menyifatkan hari ini adalah hari paling dinantikan semua calon SPM seluruh negara.
Katanya, perasaannya bercampur-baur untuk menghadapi peperiksaan tersebut namun yakin dapat menjawab dengan baik setelah membuat persiapan rapi.
“Saya yakin tetapi sedikit gementar. Bagaimanapun, saya lega apabila peperiksaan ini berlangsung. Saya mahu selesaikan segera supaya tidak fikir bukan-bukan lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, seramai 33,079 calon di Perak akan menduduki peperiksaan SPM di 327 pusat peperiksaan di seluruh negeri bermula hari ini sehingga 25 Mac depan.
Katanya, daripada jumlah itu, 31,676 pelajar merupakan calon sekolah manakala 1,403 orang mendaftar sebagai calon persendirian.
“Bagi peperiksaan kali ini, 28,932 calon ialah dari sekolah kerajaan, 1,368 calon Maktab Rendah Sains Mara, 344 calon sekolah agama negeri, 396 calon sekolah swasta dan 636 calon sekolah agama rakyat.
“Daerah Kinta Utara merekodkan jumlah calon terbanyak iaitu 9,082 diikuti Larut Matang dan Selama (4,401), Manjung (3,108), Batang Padang (2,682) dan Kuala Kangsar (2,603),” katanya.-K!ONLINE