SEPANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggunakan sistem aplikasi TracVirus bagi memantau semua pelawat yang keluar dan masuk di semua pintu masuk negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, penggunaan sistem itu akan mempercepatkan proses kemasukan pelawat di semua pintu masuk negara yang sebelum ini perlu mengisi borang secara manual.
Beliau berkata, sistem itu antara lain digunakan APM bagi memudah cara pengurusan Covid-19 apabila pelawat boleh memasukkan maklumat kesihatan seperti keputusan saringan dalam aplikasi itu.
“Sistem ini akan memberi data secara langsung (live) menerusi perkongsian data MySejahtera. Ia sebagai pengurusan tambah baik dengan ciri-ciri kelengkapan teknologi terkini, ” katanya dalam sidang akhbar selepas melihat operasi keselamatan APM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Redzuan berkata, tempoh percubaan sistem yang akan digunakan itu bermula hari ini di KLIA selama dua minggu sebelum diperluaskan di semua pintu masuk negara.
“Menjadi hasrat APM mempunyai kelengkapan untuk memantau pergerakan bukan sahaja ketika pandemik Covid-19 tapi bencana-bencana lain juga,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya penggunaan aplikasi itu berjaya, ia akan digunakan di tempat-tempat lain untuk menggalakkan sektor pelancongan.-K!ONLINE