fbpx

17 tahun jaga ‘anak syurga’ lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANIRAH memangku Muhammad Khirul yang lumpuh di rumah mereka di Kampung Harmoni, Ijok, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Meskipun kian dimamah usia, seorang warga emas tetap cekal menjaga anak lelakinya yang lumpuh sejak 17 tahun lalu.

Sanirah Ismail, 64, dari Kampung Harmoni, Ijok di sini tekad untuk terus menjaga Muhammad Khirul Aiman Wagimin, 24, sehingga ke akhir hayatnya.

Ibu tunggal itu berkata, Muhammad Khirul yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas lumpuh ketika berusia tujuh tahun.

“Adik (Muhammad Khirul) sebelum ini kerap mengalami demam panas dan sawan, namun masih mampu bergerak seperti kanak-kanak lain.

“Keadaannya bagaimanapun berubah apabila doktor mengesahkan bahawa Adik lumpuh dan mungkin akan mengalaminya sepanjang hidup,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo! di rumahnya semalam.

Menurut nenek kepada 13 cucu itu, Muhammad Khirul memerlukan penjagaan rapi kerana hanya terlantar dan tidak dapat bercakap.

“Saya perlu menggunakan mesin pengisar untuk mengisar nasi dan lauk yang dimakan Adik.

“Selain memandikannya, saya dengan bantuan anak-anak lain menukar lampin pakai buang yang dipakainya empat kali sehari,” katanya.

Biarpun perit, Sanirah perlu memikul tanggungjawab itu selepas pemergian arwah suami­nya, Wagimin Sajat, 60, pada 2010.

“Bagi saya, Adik adalah anugerah terindah yang dikurniakan Allah dan akan membawa kami sekeluarga ke syurga kelak.

“Saya akan menjaganya selagi bernyawa. Saya bersyukur kerana enam anak lain sentiasa mengambil berat,” katanya.

Tambah suri rumah itu, dia juga bersyukur kerana menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh me­nyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 10118-29-00006885-0.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI