BARCELONA – Kapten Barcelona, Lionel Messi menyeru agar pihak pengurusan pasukan itu segera bertindak dengan menandatangani kontrak pengurus pasukan Leeds United, Marcelo Bielsa bagi menggantikan posisi Quique Setien.
Sebagai rekod, nasib Setien bersama The Catalan semakin samar selepas gagal membantu kelab itu mempertahankan kejuaraan La Liga meskipun baru ditandatangani pada Januari lepas.
Susulan itu, Bielsa yang masih segar membimbing Leeds United menjuarai Liga Kejuaraan sekali gus meraih tiket ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan merupakan pilihan utama Messi untuk membimbing Barcelona.
Difahamkan, Leeds masih lagi belum mendapat persetujuan untuk menyambung kontrak Bielsa yang dijangka tamat pada penghujung bulan ini.
Justeru, Messi percaya ini adalah masa yang terbaik Barcelona menandatangani khidmat pengendali kelahiran Argentina itu secara percuma tanpa perlu menebus apa-apa kontrak.
Lebih menarik, falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Bielsa sememangnya hampir sama dengan corak tiki taka yang digunakan oleh Barcelona sejak zaman bekas pengendali, Johan Cruyff dan Pep Guardiola.
Sebagai rekod, selain Bielsa, Barcelona sebelum ini turut berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain lagenda mereka, Xavi Hernandez yang membimbing kelab Qatar, Al Sadd. – AGENSI