LIVERPOOL – Malang terus menimpa Liverpool apabila kini mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-2 kepada Everton di Anfield awal pagi semalam.
Ini adalah kali pertama The Reds tewas kepada Everton dalam semua kejohanan sejak 2010.
Lebih malang, Anfield akhirnya ‘roboh’ di tangan musuh setempat itu yang kali terakhir memenangi aksi di gelanggang keramat tersebut pada 1999.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menuding jari kepada Chris Kavanagh kerana mendakwa pengadil itu melakukan keputusan tidak tepat dengan memberikan sepakan penalti kepada Everton.
Klopp, 54, mempertikaikan keputusan itu kerana mendakwa Trent Alexander-Arnold langsung tidak melakukan kekasaran terhadap penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin.
Hasilnya, Everton berjaya meledak gol kedua yang disempurnakan Gylfi Sigurdsson pada minit ke-82 selepas memperoleh gol pertama seawal minit kesembilan menerusi Richarlison.
“Tidak adil untuk saya menjawab perkara ini. Jika ramai orang fikir ia bukan penalti, maka beliau (Kavanagh) membuat keputusan yang salah.
“Saya cuba bercakap dengannya apabila perlawanan tamat tetapi beliau sudah meninggalkan padang,” kata Klopp.
Kekalahan itu juga menyaksikan Liverpool kini tewas empat aksi berturut-turut di Anfield buat kali pertama sejak 1923.
Bekas pengendali Borussia Dortmund itu turut meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan pasukannya memanfaatkan deretan peluang terhidang sepanjang perlawanan.
“Meskipun mencipta banyak peluang menjaringkan gol tetapi jentera serangan kami mensia-siakannya,” ujar Klopp. –AGENSI