SOUTHAMPTON – Kekecewaan jelas terpancar pada wajah pengurus Chelsea, Thomas Tuchel selepas pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. Mary kelmarin.
Lebih mengejutkan ramai pihak apabila tindakan Tuchel mengeluarkan Callum Hudson-Odoi pada minit ke-76 selepas dia baru sahaja dimasukkan sebagai pemain gantian dalam awal separuh masa kedua.
Bagaimanapun, beliau memiliki alasan tersendiri mengeluarkan pemain sayap itu dan menggantikannya dengan Hakim Ziyech dalam usaha memburu gol kemenangan.
“Dia (Hudson-Odoi) gagal untuk pamerkan aksi yang dimahukan dalam perlawanan ini, jadi saya terpaksa keluarkannya bagi melakukan perubahan formasi.
“Saya tidak gembira dengan prestasinya apabila dia tidak melakukan tugas seperti diarahkan. Bagaimanapun, dia tetap berpeluang untuk beraksi menentang Atletico Madrid nanti,” kata Tuchel.
Pada perlawanan tersebut, Southampton terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Takumi Minamino sebelum Mason Mount menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti.
Bekas jurulatih Paris Saint-Germain itu turut menyelar jentera serangan The Blues yang banyak mensia-siakan peluang menjaringkan gol biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan tersebut.
“Kami menguasai permainan serta banyak bermain dalam kawasan lawan tetapi kualiti penyudah cukup menghampakan. Bagi saya, ia sangat mengecewakan,” ujarnya. – AGENSI