PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini tidak menjadi penghalang buat para mentor dan perantis Akademi Bonda Nor (ABN) mengadakan majlis pertemuan semula di alam maya.
Menggunakan aplikasi Google Meet, lebih 50 ahli keluarga besar ABN dari seluruh negara berkumpul dan berinteraksi seperti masing-masing bertemu di alam realiti.
Pengasas ABN, Norli Madlan, 44, atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor berkata, beliau tidak mahu menjadikan alasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersayarat (PKPB) sebagai tembok penghalang dalam mengeratkan ukhuwah sesama mereka.
“Teknologi yang ada membolehkan pelbagai perkara boleh dilakukan. Jadi mengapakah tidak kita manfaatkan ia dengan sebaik-baiknya?
“Alhamdulillah, walaupun sekadar bertemu di depan komputer riba, telefon pintar mahupun tablet, tetapi ukhuwah itu tetap sampai di hati,” ujar Bonda Nor kepada Kosmo!.
Program yang bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira 1 petang ini berjaya dipenuhi dengan pelbagai segmen menyeronokkan.
Ia termasuklah acara karpet merah secara virtual, perkongsian ilmu modul penulisan Islamik oleh Ustaz Fazrul Ismail dari QuranTime, amanat dari Bonda Nor sendiri serta slot Anugerah Perantis dan Mentor Popular ABN.
Tambah Bonda Nor, sebelum program ini berlangsung ahli jawatankuasa yang terlibat telah menggunakan aplikasi DrawNames dalam memilih undian nama peserta secara rahsia dan senarai barangan yang dihajati bagi acara pertukaran hadiah yang disebut Sahabat Syurga.
“Bayangkan, walaupun masing-masing jauh di mata tetapi hadiah yang telah dikirim lebih awal sebagai tanda ingatan berjaya sampai pada waktunya. Ia ibarat pertemuan seperti di alam realiti sekali gus mengukuhkan hubungan yang terjalin antara sesama penulis,” jelas beliau.
Salah seorang perantis ABN, Intan Lily Julienna Rosily, 44, berkongsi bahawa dia tidak menyangka akan menerima kesemua hadiah yang disenaraikan dalam aplikasi tersebut lantaran kemurahan hati Sahabat Syurganya itu.
“Sebenarnya saya letak tiga jenis hadiah sebagai pilihan untuk mereka memilih mana yang mudah. Sebaliknya saya menerima empat hadiah yang sangat bermakna,” ujarnya.
ABN merupakan satu pertubuhan yang mengumpulkan barisan penulis dakwah santai daripada pelbagai lapangan profesional yang menerima bimbingan secara terus dari Bonda Nor selain mendapat kerjasama dengan syarikat penerbitan, Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Melalui akademi ini, mereka dilatih dan memberi tunjuk ajar dalam banyak aspek ilmu penulisan termasuk cara memasarkan buku dan sebagainya. – K! ONLINE