HAMPIR sedekad bergelumang dalam bidang seni sebagai pelakon, namun keberadaan pelakon lelaki dengan nama pentas Nafiez Zaidi itu belum cukup menyerlah dan berbekas di jiwa khalayak.
Dalam bahasa mudah, kehadiran lelaki kelahiran Kangar, Perlis itu belum disedari ramai.
Hendak dikatakan tiada tawaran lakonan yang diterima, perkataan tersebut mustahil. Sejak menghulurkan salam perkenalan bermula 2013, ada sahaja tawaran diraihnya.
Namun, entah di mana silapnya sehinggakan kredibiliti pemilik nama sebenar Abdul Nafis Abduzaidi, 29, itu kurang menangkap perhatian industri.
Baginya, biarlah sedikit perlahan untuk mencipta populariti, namun pengakhirannya nanti ada kemanisan untuk dikenang.
“Perkara ini memang saya tidak nafikan. Nak dikatakan baru setahun dua dalam industri, rasanya sudah hampir sedekad.
“Apa pun saya percayakan ketentuan takdir dan rezeki Allah. Selagi ada rezeki dan kepercayaan atas bakat yang dikurniakan, saya akan terus bergelar anak seni.
“Bagi saya, dunia glamor dan hiburan kini tak sama macam dahulu. Bukannya mudah kita nak mengecap populariti dengan sekelip mata.
“Hanya mereka yang bertuah sahaja mampu meroket mencipta nama,” katanya membuka bicara kepada HibGlam.
Tambah pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Kiah The Spy lapan tahun lalu itu, dia sentiasa mensyukuri rezeki yang sentiasa ada walaupun tidak banyak.
Akuinya, salah satu sebab namanya tidak begitu menyerlah berbanding rakan seangkatan, barangkali disebabkan watak yang diterima.
Beritahu anak sulung daripada empat beradik yang pernah mencuri perhatian menerusi naskhah Mimpi Cinta Suraya itu, dia bukan seorang pemilih dalam soal watak lakonan.
“Jujur saya ini bukan seorang yang memilih watak. Saya tak kisah waima diberi watak pembantu atau sekadar tambahan, saya terima asalkan ada kerja.
“Mungkin watak pembantu kurang menyerlahkan nama dan bakat saya. Namun, saya juga pernah mendapat kepercayaan menjayakan watak-watak hero, antaranya menerusi naskhah Di Sisimu Aku, gandingan bersama Eyka Farhana tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah. Setakat ini ada lima drama yang saya pernah bawa watak sebagai hero. Daripada situ, saya lihat bakat saya mula diterima walaupun terpaksa akur graf populariti tidak naik mendadak,” ujarnya.
Tidak cemburu
Ditanya mengenai kehadiran bakat baharu yang memeriahkan kanvas seni, Nafiez menyifatkan situasi tersebut sebagai satu perkara positif terutama untuk industri seni.
Baginya, setiap individu mempunyai bahagian rezeki masing-masing dan tidak perlu wujud sifat cemburu terhadap rakan seperjuangan yang pantas meraih populariti waima masih setahun jagung.
“Jujur saya tumpang seronok dan gembira melihat kejayaan dan perkembangan pelakon lain, terutama dalam kalangan pendatang baharu.
“Kalau ikutkan ramai pelakon yang sealiran dan sekelompok dengan saya yang sudah mengukir nama dan meraih populariti, tetapi saya masih di tahap sama.
“Pendatang baharu sekarang mudah dan ada platform untuk ketengahkan dan cungkil bakat mereka. Tengok saja macam Hero Remaja dan Drama Festival Kuala Lumpur. Apa pun semuanya bergantung kepada tuah dan usaha,” katanya yang bakal tampil dengan beberapa naskhah terbaharu tidak lama lagi.
Pemeran watak Koperal Kamal menerusi filem Misteri Dilaila itu bertegas, belum puas bergelar sebagai pelakon.
Turut tertanam dalam jiwanya, dia mengimpikan momen merangkul sekurang-kurangnya sebuah trofi dalam kerjaya seninya.
Bercinta
Ditebak mengenai hubungan istimewa yang terjalin bersama si jelita bernama, Natasha Charmaine Rickson, Nafiez tidak terburu-buru membuat pengakuan.
Katanya, dia mula mengenali pelakon itu menerusi sebuah telefilem berjudul Lapis-Lapis Cinta menggandingkan mereka berdua.
“Jujur kami kini sedang mengenali hati budi antara satu sama lain. Hendak dikatakan bercinta, perkara itu mungkin belum lagi.
“Tetapi kami selesa dengan hubungan seperti ini.
“Biarlah kami berkenalan dan mengutamakan perihal kerjaya terlebih dahulu. Soal jodoh dan kahwin itu biarlah Tuhan yang tentukan,” ujarnya yang meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik buat mereka.