AWAL minggu lalu, nama Nur Athirah Mohamad Zaini mula menjadi sebutan masyarakat ekoran kejayaannya mengharumkan nama negara apabila disenarai menduduki tempat kedua dunia selepas memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT).
Masing-masing melahirkan rasa kekaguman mereka kerana pada usia 19 tahun dan disifatkan sebagai masih terlalu muda, gadis kelahiran Kuantan, Pahang ini berjaya membuktikan negara mampu melahirkan generasi berkualiti dan bijak pandai.
Pencapaiannya itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menzahirkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya, selain mendoakan Nur Athirah mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburinya.
Dalam peperiksaan tersebut, pelajar yang merupakan penerima biasiswa Bank Islam itu memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2).
Athirah yang merupakan penuntut di INTEC Education College di Shah Alam, Selangor itu berkongsi tempat dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Putera Aiman Abdul Rashid, 19, yang turut mendapat tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas FA2.
“Certified Accounting Technician (CAT) ini juga sebenarnya merupakan asas dalam perakaunan. Peperiksaan yang saya duduki pada Disember lalu dikenali sebagai Maintaining Financial Records dan ia merupakan ujian berteraskan komputer.
“Saya mengetahui markah yang diperoleh sebaik sahaja peperiksaan tersebut tamat. Tidak sangka pula mendapat tempat kedua tertinggi di dunia dan sangat terkejut apabila mendapat perkhabaran tersebut memandangkan soalan tersebut agak sukar,” ceritanya.
Bukan sahaja mengharumkan nama negara, penat lelah anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini mengulang kaji pelajaran ternyata berbaloi apabila keputusan cemerlang yang digapainya itu turut membanggakan kedua-dua orang tuanya.
“Ibu dan ayah sangat bersyukur dengan kejayaan ini. Mereka merupakan insan yang banyak mengingatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
“Ayah merupakan idola saya. Beliau merupakan tempat saya merujuk dan mendapatkan nasihat. Boleh dikatakan setiap langkah yang diambil, ayah pasti akan dirujuk terlebih dahulu,” jelasnya.
Tidak hanya cemerlang dalam peperiksaan CAT yang baru didudukinya, anak kepada pasangan Mohamad Zaini Ismail, 59, dan Noorhaslinda Mat Ali, 49, ini sememangnya seorang pelajar pintar apabila pernah memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Berkongsi tip yang diamalkan sebagai seorang pelajar, menurut Athirah, setiap hari dia akan memastikan dirinya memberi tumpuan yang penuh ketika berada di dalam kelas.
“Tip yang saya mampu kongsikan adalah fokus dalam kelas, banyak membuat latihan, lihat semula kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini agar kita tidak mengulangi kesilapan sama.
“Saya juga akan pastikan setiap topik yang dipelajari difahami dengan betul.
“Paling penting sekali sebagai seorang pelajar adalah, jagalah hubungan baik dengan ibu bapa, guru atau pensyarah, selain berserah kepada Allah,” katanya.
Menitikberatkan pelajaran tidak bermaksud gadis ini memperuntukkan 24 jam setiap hari dengan buku semata-mata.
Sama seperti remaja lain, Athirah juga ada minat tersendiri, lebih-lebih lagi apabila dia kepenatan dan mahu berehat daripada mengulang kaji pelajaran.
“Bagi saya, pelajaran sangat penting. Ini kerana, dengan ilmu yang ada jugalah kita dapat mengubah cara berfikir dan seterusnya berfikiran jauh serta lebih matang daripada sebelumnya.
“Biarpun begitu, saya juga sering mengamalkan 15 minit rehat apabila penat belajar bagi mendapatkan semangat baharu untuk meneruskan pelajaran selepas berehat.
“Selalunya apabila terlalu penat mentelaah, saya sering lakukan perkara yang diminati seperti menonton video di YouTube dan juga membuat kek bersama ibu dan kakak,” ujarnya lagi.
Bercita-cita ingin bekerja sebagai seorang akauntan profesional, Athirah berhasrat menyambung pengajian dalam Association of Chartered Certified Accountant di INTEC dalam tempoh terdekat.