KOTA BHARU – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu menduduki peperiksaan itu yang dijadual bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, tarikh baharu untuk mereka menduduki SPM akan ditentukan kemudian.
“Kita akan kumpulkan pelajar ini dalam satu tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas mereka habis tempoh kuarantin masing-masing.
“Keputusan mengecualikan mereka dilakukan selepas kita mendapat nasihat Jabatan Kesihatan negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini, seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah agama berasrama di Machang disahkan positif Covid-19.
Semua pelajar terbabit kini ditempatkan di pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, untuk rawatan dan proses kuarantin. – K! ONLINE