SEBERANG PERAI – Seorang pekerja ladang terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki yang sudah reput di dalam sebuah tong dram di sebuah kebun di Tiga Kongsi, Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini semalam.
Mayat dipercayai lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira pukul 6 petang oleh pekerja pemotong sawit tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pekerja berkenaan pada mulanya mendakwa terhidu bau busuk dari sebuah tong besar berwarna biru sebelum menghubungi majikannya.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat yang tidak dapat dikesan identitinya itu dan dipercayai warga asing berusia 40-an memakai seluar pendek dan berkemeja-T.
“Dia dipercayai meninggal dunia lebih kurang satu bulan berdasarkan keadaan mayat yang sudah mengecut dan kering,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan mayat dan polis tidak menjumpai apa-apa kesan lain di sekitar tempat kejadian.
“Polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Beliau berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Seberang Jaya di sini bagi mengetahui punca sebenar kematian. – K! ONLINE.