LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana dijangka menyertai Brighton minggu depan dengan perjanjian selama tiga tahun selepas kontraknya bersama The Reds berakhir musim ini.
Brighton mengetepikan saingan daripada Leicester City, Burnley dan Southampton bagi mendapatkan khidmatnya selepas dipujuk Pengarah Teknikal Brighton, Dan Ashworth.
Pemain berusia 32 tahun itu mengakui sudah tiba masanya dia mengubah haluan untuk mencari cabaran baharu selain percaya masih mampu beraksi di pentas tertinggi beberapa tahun lagi.
“Saya fikir ini adalah waktu paling sesuai untuk meninggalkan Liverpool. Saya terdesak mencari cabaran baharu serta peluang bermain lebih kerap.
“Secara jujur, saya akui masih mampu beraksi sebagai pemain utama bagi tempoh tiga tahun lagi. Bagaimanapun, sedikit sedih kerana saya akan tinggalkan rakan sepasukan yang pernah berjuang bersama,” katanya.
Sebagai rekod, Lallana berhijrah ke Liverpool dari Southampton pada 2014 ketika di bawah bimbingan Brendan Rodgers dan dia sudah melakukan 178 penampilan dalam tempoh enam tahun.
Selain itu, dia juga akan meninggalkan The Reds dengan penuh bangga apabila pernah memenangi Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia dan yang terbaharu, Liga Perdana Inggeris (EPL). – AGENSI