TIDAK dinafikan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia gagal untuk menampilkan aksi terbaik ketika menyertai kejohanan Sirkit Asia yang berlangsung di Bangkok, Thailand bulan lalu.
Pada dua kejohanan Terbuka Thailand serta Jelajah Dunia Akhir itu, dia menampilkan aksi di bawah paras sebenar sehingga menyebabkan peminat sukan tanah air hilang sabar.
Bagaimanapun, penyokong wajar berasa kecewa memandangkan kejohanan itu tidak disertai sebahagian besar pemain ternama seperti Kento Momota yang menarik diri.
Kritikan yang dilemparkan penyokong bukanlah bermaksud menghina, namun lebih kepada kritikan membina kerana mereka mahu melihat Malaysia kembali digeruni dalam sukan raket itu.
Apa tidaknya, selepas ketiadaan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang bersara, negara terus kemarau kejuaraan terutamanya menerusi acara perseorangan lelaki pada kejohanan-kejohanan elit.
Tempoh hari, kemungkinan Zii Jia masih belum berada pada tahap sebenar selepas hampir setahun tidak beraksi dalam saingan kompetitif akibat Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Peminat juga perlu diingatkan kembali pemain berusia 23 tahun ini pernah melangkah ke separuh akhir kejohanan Seluruh England (All England) tahun lalu, sekali gus membuktikan dia adalah pemain berkualiti.
Justeru, kita seharusnya perlu memberikan sedikit ruang dan waktu buat Zii Jia untuk kembali ke prestasi sebenar, lebih-lebih lagi dia kini memerlukan sokongan padu rakyat Malaysia bagi melakukan kebangkitan.
Chong Wei juga mengakui perjalanan bekas juniornya itu masih panjang berdasarkan usia yang masih muda selain menggesa pemain kelahiran Kedah itu mengubah sikap.
Pada masa sama, ‘Raja Siri Super’ itu memohon peminat sukan tanah air bersabar dan memberikan sokongan buat anak muda berkenaan.
“Semua orang perlu sabar dan sedar Zii Jia masih muda. Saya tahu dia kalah pada kejohanan sebelum ini, namun sekarang dia perlukan sokongan anda.
“Apa yang penting sekarang adalah Zii Jia perlu lakukan beberapa perubahan. Dia perlu ubah fikiran dan mentaliti untuk bangkit,” kata Chong Wei yang juga naib juara dunia tiga kali.
Bermula Mac ini, Zii Jia tidak boleh lagi menganggap dia berada dalam tempoh ‘bulan madu’ memandangkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo mula dikira, bermula pada kejohanan Terbuka Switzerland.
Dia yang kini menghuni ranking ke-11 dunia memiliki masa kurang dua minggu bagi melakukan persiapan terbaik bagi menebus aksi mengecewakan di Bangkok sebelum ini.
Bekas perseorangan lelaki No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim percaya masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam permainan Zii Jia sekiranya dia mahu merealisasikan impian beraksi di pentas Olimpik.
“Sekiranya permainan tidak berubah, bukan sahaja untuk dapatkan pingat Olimpik, malah layak pun belum tentu. Masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum aksi kelayakan bermula Mac depan.
“Sekarang Zii Jia ada tempoh kurang dua minggu untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Dia perlu bekerja lebih keras untuk tingkatkan stamina serta kuatkan mental,” kata bekas pemain kelahiran Kelantan itu.
Mungkin ketika ini Zii Jia berada dalam situasi sukar, jadi dia amat memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia untuk kembali bangkit seterusnya mengibarkan Jalur Gemilang di persada dunia.