BERCAKAP mengenai bola sepak Asia, pastinya masih ramai yang mengenali bintang dari Emiriyah ArabBersatu, Omar Abdulrahman yang pernah menggegarkan dunia dengan gaya permainannya yang cukup menarik.
Bagi peminat bola sepak Malaysia, nama ini pastinya akan selalu dikenang kerana dia salah seorang pemain yang berada dalam kesebelasan utama pasukan UAE ketika membelasah Harimau Malaya 10-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 2015.
Omar memulakan debut karier profesional bersama kelab Al-Ain yang beraksi di saingan Liga Pro UAE ketika berusia 17 tahun bermula pada 2008 hinggalah 2018 dengan melakukan 142 penampilan serta meledak 38 gol.
Sepanjang bersama Al-Ain, nama Omar mula meletup dengan gaya permainan menarik, kawalan bola dan lincah menyebabkan ramai pemerhati merasakan masa depannya untuk ke kancah saingan Eropah terbuka luas.
Pentas Olimpik London 2012 menjadi detik penting dalam perjalanan karier Omar apabila aksinya mula didekati oleh pasukan pencari bakat beberapa kelab gergasi Eropah dan buat pertama kalinya dia dikaitkan dengan Manchester City selain Barcelona dan Arsenal juga mula menjejak kelibatnya.
Bagaimanapun, dia memilih untuk kekal bersama Al-Ain dan ia bukanlah keputusan yang teruk kerana pada usia yang masih muda, beraksi bersama pasukan terbaik di Asia mampu untuk terus mengembangkan bakatnya.
Selepas Kejohanan Piala Asia 2015, ia sepatutnya menjadi detik paling penting dalam karier Omar kerana itulah saat terbaik untuk dia pergi ke Eropah ketika banyak pasukan sedang menanti ketibaannya.
Namun, Omar membuat kejutan dengan tidak menandatangani kontrak lanjutan yang ditawarkan Al-Ain sebelum memilih untuk menyertai Al-Hilal pada 2018 berbanding mencuba nasib di luar benua Asia.
Detik kejatuhan dalam kariernya bermula apabila dia mengalami kecederaan selepas lima aksi bersama Al-Hilal sehingga terpaksa melupakan aksi Piala Asia 2019 selain turun satu perlawanan pada 2020 menyebabkan namanya kian dilupakan.
Tidak diketahui apakah punca Omar memilih untuk tidak ke Eropah, namun kontrak lumayan yang diterima menyebabkan dia terlalu selesa sekali gus memudarkan keinginan untuk berkelana ke Eropah.
Sebagai ahli sukan, mencabar diri perlu dijadikan sebagai matlamat utama berbanding faktor-faktor lain kerana anda hanya akan tahu sejauh mana kemampuan bakat yang dimiliki itu selepas anda mengujinya.
Di Malaysia, kita harus berbangga kerana memiliki Luqman Hakim Samsudin yang kini berkelana ke Belgium untuk menguji bakatnya bersama KV Kortrijk.
Andai dia berjaya, maka pengorbanan yang dilakukan berbaloi dan jika sebaliknya, dia sudah mencuba. Buat ahli sukan lain, jangan lepaskan peluang, pedulikan masalah termasuk bahasa kerana ia adalah perkara yang hanya akan melemahkan minda dan semangat.
Lihat bagaimana Hafizh Syahrin yang masih kekal dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia walaupun bertukar pasukan tetapi kerana keinginan, bakatnya masih dihormati oleh orang luar, malah kebanggaan melihat dia membawa bendera negara.