PONTIAN – Bau busuk dari sebuah rumah membongkar penemuan mayat seorang warga emas yang dipercayai telah mati beberapa hari lalu di sebuah rumah di Taman Megah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang jiran mengenai penemuan mayat berusia 72 tahun pada pukol 8.55 malam tadi.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, jiran mangsa memaklumkan menjumpai mayat lelaki yang tinggal bersendirian di rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan. Mayat seterusnya di bawa ke Hospital Pontian untuk di bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mustafa, mangsa mempunyai rekod sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi dan diperakui oleh adik mangsa,
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Teo Chang Yum, 38, ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, mayat yang ditemui itu merupakan bapa saudaranya yang dikenali sebagai Yap Keng Hock.
Katanya, bapa saudaranya tinggal bersendirian berikutan isteri dan tiga anaknya berada di Singapura dan tidak dapat balik ke Johor disebabkan penutupan pintu sempadan kerana Covid-19.- K! ONLINE.