SAN FRANCISCO – Seorang wanita Amerika Syarikat memulakan cabaran dengan menggunakan pin rambut sebagai permulaan sistem tukar barang dan enggan berhenti sehingga dia berjaya mendapatkan sebuah rumah, lapor laman berita Sky News.
Wanita berumur 29 tahun tersebut , Demi Skipper setakat ini sudah memiliki sebuah telefon pintar iPhone 11 Pro Max dan van Dodge Ram yang ditukarkan dengan pin rambut miliknya.
Kesemua barangan tersebut diperoleh menerusi projek sistem tukar barang dinamakan Trade Me Project yang dilancarkan oleh Skipper kira-kira dua bulan lalu.
Netizen yang sangsi dengan ‘kejayaan’ tersebut menyatakan bahawa rakan-rakan wanita itu membantu dia untuk mencapai matlamatnya.
Bagaimanapun, di bawah peraturan cabaran tersebut, Skipper meletakkan syarat bahawa dia tidak boleh menjalankan proses pertukaran barang menggunakan wang tunai atau dengan sesiapa yang dikenalinya.
Skipper yang bekerja sebagai pengendali aplikasi tempahan di sebuah restoran berkata, dia menghantar hampir 1,000 mesej setiap pagi serta malam dan melibatkan diri dalam dunia ‘sistem barter’.
Kejayaan wanita itu tular di media sosial. Skipper juga memiliki berjuta-juta pengikut di aplikasi sosial Tik-Tok dan Instagram.
“Kamu harus tabah dan perlu tahu bahawa apa yang kamu sedang lakukan adalah pelik. Saya masih simpan mesej beberapa orang memanggil saya manusia paling kurang siuman,” katanya.
Wanita itu membalas dengan gurauan bahawa dia mahu mendapatkan sebuah rumah dan menggunakan dinding kediaman itu sebagai tembok untuk mereka yang menghantar mesej ‘ini adalah perkara paling bodoh pernah saya dengar’ kepadanya.
Skipper mendapat inspirasi melancarkan projek tersebut selepas menonton video Kyle MacDonald.
MacDonald yang merupakan seorang penulis blog, berjaya menukar klip kertas berwarna merah untuk sebuah kediaman pada awal tahun 2000. – AGENSI