MADRID – Bintang pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos mungkin menggunakan tawaran daripada kelab Liga Super China sebagai ‘ugutan’ kepada pihak pengurusan pasukan itu untuk menyambung kontraknya dengan nilai yang lebih lumayan.
Dia yang juga pemain pertahanan Sepanyol dengan 170 penampilan hanya mempunyai baki setahun kontrak dengan gaji mingguan semasa sebanyak £210,000 (RM1.14 juta) di Santiago Bernabeu.
Ejen pemain berkenaan sebelum ini membocorkan rahsia bahawa Ramos mendapat tawaran gaji mingguan sebanyak £385,000 (RM2.09 juta) seminggu dari kelab China berkenaan.
Ramos dalam perancangan untuk mendapatkan kontrak lanjutan selama dua tahun dengan bayaran yang lebih besar untuk menjadikannya sebagai pemain yang meraih pendapatan paling tinggi di kelab itu.
Ketika ini, Gareth Bale menjadi pemain yang mendapat gaji paling tinggi iaitu sebanyak £300,000 (RM1.63 juta) seminggu tetapi Ramos dilaporkan hanya mahu Real menaikkan gajinya sebanyak £315,000 (RM1.71 juta) seminggu.
Bagaimanapun, peminat mungkin menganggap ia adalah cerita yang direka-reka kerana pada 2015, ejen Ramos yang juga merupakan adiknya, Rene Ramos pernah mengeluaran kenyataan kononnya Manchester United yang dibimbing Louis Van Gaal juga mendapatkan khidmatnya sebelum Real memberikannya kontrak baharu.
Musim ini menyaksikan Ramos berada pada prestasi terbaik apabila membantu The Galacticos muncul juara La Liga sekali gus merupakan koleksi kejuaraan kelima sepanjang karier selain meledak 11 gol. – AGENSI