PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap masyarakat Cina di Malaysia dapat meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini bersama keluarga tersayang walaupun pertemuan secara fizikal terhad buat masa ini.
Perdana Menteri berkata, teknologi yang ada pada hari ini harus dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.
Menurutnya, sambutan perayaan melalui program Majlis Rumah Terbuka anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diadakan pada setiap tahun sememangnya menjadi antara wadah perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.
“Ia bukan saja menghangatkan kemeriahan sambutan perayaan berbilang bangsa malah turut dapat menzahirkan rasa saling menghormati dan menghargai perbezaan kaum dan budaya di kalangan masyarakat,” katanya dalam perutusan Sambutan Rumah Terbuka (SRTM) Tahun Baharu Cina Norma Baharu 2021 secara maya di Facebook MOTAC hari ini.
Muhyiddin berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa tradisi pemberian angpau untuk anak-anak kecil serta saudara mara yang belum berkahwin.
“Memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti kita, maka saya fikir wajar untuk kita menyesuaikan amalan dan tradisi sambutan perayaan dalam bentuk yang lebih inovatif iaitu menerusi teknologi digital seperti aplikasi e-Angpau,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, masyarakat Cina di Malaysia telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang membentuk rantaian ekonomi merangkumi industri pelancongan, seni dan budaya negara sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik di kalangan pelancong asing.
“Marilah kita terus memelihara dan memulihara kekayaan warisan seni dan budaya pelbagai kaum yang menjadi aset kebanggaan kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara.
Katanya pada masa sama, rakyat tidak boleh berputus asa ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia untuk membajak dan berbakti kepada tanah. – K! ONLINE