MONTE CARLO – Pasukan LCR Honda telah melancarkan jentera baharu buat pelumbanya, Alex Marquez bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 semalam selepas juara dunia Moto2 2019 tersebut menyertai pasukan satelit Honda musim ini.
Terdahulu, kontrak Marquez bersama pasukan Marc VDS bagi saingan Moto2 telah ditamatkan dan adik kepada jaguh dunia, Marc Marquez itu disambar oleh pasukan utama Repsol Honda bagi menggantikan juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo yang bersara pada tahun 2019.
Meskipun bergelut pada musim pertama sebagi rookie dalam kelas utama MotoGP, Marquez berubah menjadi pelumba penting buat Honda apabila menaiki podium pada Grand Prix (GP) Jepun selain menduduki tempat kedua pada GP Perancis dan GP Aragon.
Marquez menamatkan saingan pada tahun lalu di kedudukan ke-14 keseluruhan.
Dalam pada itu, Marquez pernah menguji jentera LCR sebelum ini ketika ujian pasca musim di Valencia pada tahun 2019.
“Apabila saya menyaksikan corak warna jentera itu buat kali pertama, iaitu pada hari ini (kelmarin), ia sungguh menakjubkan.
“Ia suatu perasaan yang sungguh luar biasa apabila menyaksikan jentera baharu, sangat bagus dengan warna istimewa.
“Saya sedar LCR mempunyai banyak sejarah dalam kejuaraan MotoGP, jadi apabila memacu jentera yang memiliki warna ini, ia sesuatu yang menyeronokkan.
“Seperti apa yang katakan sebelum ini, memang penampilan itu penting, namun keputusan di atas litar adalah lebih penting. Jadi, akan sentiasa menjadi bagus mengenakan warna yang baik dan berusaha untuk mendapatkan keputusan baik,” kata Marquez.
Penyertaan Marquez bersama LCR Honda adalah bagi menggantikan pemenang tiga kali MotoGP, Cal Crutchlow yang menjadi penunggang uji rasmi jentera Yamaha tahun ini. – AGENSI