fbpx

Osaka muncul juara Terbuka Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OSAKA ceria bersama trofi kemenangan selepas muncul juara Terbuka Australia di Rod Laver Arena, Melbourne Park semalam.

MELBOURNE – Jaguh Jepun, Naomi Osaka mengukuhkan kedudukannya sebagai ratu gelanggang keras apabila bergaya menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Jennifer Brady pada final Terbuka Australia sekali gus memenangi Grand Slam keempat dalam kariernya semalam.

Osaka, 23, yang tidak pernah tewas pada perlawanan besar di pentas final berjaya membenam Brady menerusi keputusan straight-set 6-4, 6-3 di Rod Laver Arena, Melbourne Park.

Osaka tampak mudah meraih kemenangan pada set pertama ke atas Brady, 25, yang julung-julung kali beraksi di pentas final Grand Slam ekoran melakukan beberapa kesilapan sendiri.

Bintang Jepun yang juga pilihan ketiga kejohanan itu berjaya menguasai permainan pada set kedua hingga menyebabkan Brady (pilihan ke-22 kejohanan) tidak mampu bangkit untuk mengheret aksi ke set ketiga.

Osaka yang menduduki ranking No. 2 dunia kini memenangi dua gelaran Terbuka Australia selepas kali pertama memenanginya pada tahun 2019 selain dua Grand Slam pada Terbuka AS tahun 2018 dan 2020.

“Pertama sekali saya mahu…(berpusing ke arah Brady) kamu selesa dipanggil sebagai Jenny atau Jennifer?

“Jennifer, saya mahu mengucapkan tahniah kepada kamu. Selepas kita beraksi pada Terbuka AS, saya memaklumkan kepada semua orang bahawa kamu bakal menjadi batu penghalang dan saya betul. Melihat peningkatan kamu sejak beberapa bulan lepas sangat menggembirakan,” kata Osaka.

Sementara itu, Brady turut mengucapkan tahniah kepada Osaka yang disifatkannya sebagai inspirasi kepada pemain muda dan apa yang dipamerkannya di dalam gelanggang sangat hebat.

“Saya berharap pemain muda wanita menyaksikan perlawanan ini dan menjadikan apa yang dilakukannya di dalam gelanggang sebagai inspirasi.

“Saya juga mahu mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Osaka. Mereka sudah pastinya melakukan tugas dengan istimewa sekali dan menjadikan Osaka semakin bagus setiap hari,” kata Brady. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI