JEREZ, Sepanyol – Juara dunia, Marc Marquez tidak kesal dengan tindakannya turun beraksi pada sesi kelayakan saingan Grand Prix (GP) Andalusia di Jerez, Sepanyol meskipun terpaksa menahan sakit.
Pelumba Repsol Honda tersebut mengakui dia hanya melakukannya sebab minat mendalam pada sukan permotoran itu dan hanya mahu melihat tahap kemampuannya sebelum membatalkan niat untuk beraksi pada perlumbaan sebenar malam tadi.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengalami kecederaan patah lengan kanan setelah terjatuh pada aksi pembuka tirai GP Sepanyol di Litar Jerez pada minggu lalu.
Enam hari setelah terlibat dalam insiden di Grand Prix Sepanyol, Marquez kembali ke Jerez selepas disahkan cergas untuk turun beraksi pada sesi kelayakan apabila mendapat lampu hijau daripada pasukan.
“Saya faham sukar untuk menunggang jentera dalam keadaan sedemikian tetapi secara jujur setelah menjalani pembedahan saya lihat ada peluang kecil untuk mencuba dan dapat menyelesaikan 25 pusingan dalam sesi tersebut.
“Sebagai seorang ahli sukan dan mempunyai minat mendalam sudah pasti saya akan mencuba. Hari ini saya akan tidur lena kerana telah melakukannya.
“Saya terkejut kerana mampu menunggang dan menguji jentera ini. Pada sebelah petang saya mencuba lagi dan merasai kesakitan pada bahagian siku terutama pada saraf. Sebab itu saya terpaksa berhenti kerana kehilangan tenaga di situ,” kata Marquez.
Pelumba Perancis, Fabio Quartararo sekali lagi tampil cemerlang apabila menempah petak pertama selepas merekodkan masa terpantas 1 minit 37.007 saat (s) dan hanya dibezakan 0.095s dengan pelumba Yamaha, Maverick Vinales di tempat kedua, manakala Francesco Bagnaia (Pramac Racing) di kedudukan ketiga. – AGENSI