BARCELONA – Gergasi Sepanyol, Barcelona bangkit melupakan episod malang dalam kempen Liga Juara-Juara dengan mengalihkan fokus mereka menanti kunjungan Cadiz pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou malam ini.
Motivasi para pemain The Catalan dilihat masih berada pada tahap tinggi dalam sesi latihan meskipun tewas memalukan 1-4 kepada juara Perancis, Paris Saint-Germain pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada Rabu lalu.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menganggap aksi bertemu Cadiz adalah peluang terbaik mereka melepaskan geram ke atas lawan yang masih gagal meraih kemenangan daripada enam perlawanan.
Justeru, Koeman, 58, menggesa anak-anak buahnya mengambil kesempatan itu sekali gus melebarkan kemenangan dalam lapan perlawanan La Liga berturut-turut sejak 4 Januari lalu.
“Sekarang bukan waktu untuk berduka, sebaliknya pemain perlu bangkit membuka buku baharu dan terus memandang ke hadapan. Kami masih ada peluang untuk melakukan sesuatu yang hebat pada tahun ini,” kata Koeman.
Sebagai rekod, Barcelona kini menduduki tangga ketiga dengan 46 mata dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan ke atas Real Madrid di tempat kedua, namun masih ketinggalan sembilan mata terhadap pendahulu liga, Atletico Madrid.
Peluang The Catalan untuk merapatkan jurang dengan Atletico dilihat cerah apabila bakal menghadapi lawan-lawan mudah dalam lima aksi La Liga seterusnya menentang Cadiz, Elche, Sevilla, Osasusa dan Huesca.
Bagaimanapun, Barcelona masih tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama disebabkan kecederaan seperti bintang muda, Ansu Fati, Philippe Coutinho dan Sergi Roberto. – AGENSI