fbpx

Adab, Inggeris bukan kayu ukur berjaya atau cerdik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAMA Adibah Noor dan Rina Harun memanas dek isu bahasa Inggeris. Pemimpin Indonesia pula contoh terbaik sebagai individu tidak fasih bahasa Inggeris tetapi dihormati serata dunia.

TIDAKKAH menjengkelkan apabila ketika seseorang sedang ingin membuktikan sesuatu kepada dunia dengan niat, emosi dipatahkan dengan kritikan menjatuhkan daripada pihak lain. Lebih menyedihkan, kritikan tersebut keluar daripada individu sekadar juara dalam ruang kehidupannya sahaja.

Bersifat umum, kenyataan sedemikian tidak ditujukan buat sesiapa, namun kerap berlaku dalam kehidupan seharian semua orang.

Minggu ini, suhu gelanggang industri seni tanah air selain digelegakkan dengan berita penamatan kontrak Shuk Sahar sebagai penyampai radio Hot FM kisah selingkuh yang berpanjangan dan perkahwinan mengejut pelakon jelita Hannah Delisha, satu perihal yang menarik perhatian ialah kisah ‘cikgu Inggeris’, Adibah Noor memperbetulkan sebutan bahasa kedua negara oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Rina baru-baru ini memberikan ucapan dalam sidang maya keenam, Sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59), United Nations (UN), New York yang dimuat baik di laman Instagram sekitar seminggu lalu.

Dari situ, bertubi-tubi serangan sosial media yang hinggap bukan sahaja kepada menteri itu, bahkan terhadap Adibah yang dikatakan menegur ‘tidak kena cara’.

Menyentuh sedikit apa yang berlaku pada Rina dan Adibah yang turut melibatkan ‘mulut’ netizen, bahasa Inggeris hanyalah bahasa paling ‘popular’ di dunia? Ya, namun adakah bahasa tersebut simbolik sebenar yang mengukur kecerdikan atau kemewahan minda seseorang? Jawapannya, tidak sama sekali.

Kayu ukur

Khalayak boleh melihat sendiri bagaimana Presiden Indonesia, Joko Widodo menuturkan ‘broken English’ namun masih dihormati dan mengecapi kejayaan di pentas global.

Umum juga boleh menyaksikan kejayaan grup K-pop, BTS yang tidak fasih berbahasa Inggeris di Hollywood, namun lagu-lagu mereka meroket ke tangga pertama carta lagu paling gah di dunia seperti Billboard Hot 100.

Dalam kes pendekatan Adibah. Penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 51 itu tidaklah sepenuhnya bersalah. Dia juga merupakan bekas pelajar TESL yang masih berbekas nilai seorang pendidik.

Umum tahu, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu seorang yang lantang dan berterus-terang. Niatnya cuma ingin mendidik, namun disalah erti dengan komen-komen menjalar netizen di gelanggang sosial media yang serba pantas. Terjemahan dan penerimaan setiap orang berbeza. Begitu juga dengan polemik ini.

Ada dalam kalangan netizen melahirkan rasa meluat dan menyampah kerana menyifatkan Adibah terlalu berlebihan dan sengaja mencari kesalahan orang berpengaruh hanya untuk popular.

Bagaimanapun menurut Adibah, kata-kata berkenaan tidak akan mematahkan niatnya untuk mendidik orang ramai dalam memperbaiki sebutan bahasa Inggeris.

“Saya menggunakan contoh (kesalahan) figura popular supaya viral. Bukan untuk saya jadi popular atau nak jana pendapatan kerana tak ada tawaran kerja, tetapi saya suka perkara itu viral supaya teguran lebih meluas.

“Kalau nak kata saya ambil kesempatan, jawapannya, mungkin. Tetapi tujuan dan niat saya hanyalah berkongsi apa yang diketahui, memperbetulkan sebutan dan bukan nak jatuhkan sesiapa,” katanya.

Tidak hanya menegur cara sebutan Rina, Adibah juga ada menyuarakan hasratnya untuk memohon sebagai ‘guru sandaran’ dalam saluran DidikTV yang baru diperkenalkan. Alasan bintang Muksin itu, guru-guru yang mengajar dalam saluran berkenaan nampak kaku dan tidak mesra kamera.

Bercakap tentang perihal Adibah dan kecenderungan bahasa Inggerisnya, maklum balas pelakon dan pengacara hebat, Che Puan Sarimah Ibrahim antara yang menarik perhatian.

“Semuanya tentang bagaimana kita memberi komen dan respons, itu penting. Jangan sesekali menyakiti atau memperlekeh. Jaga adab kita terutama sekali. Bertindaklah sensitif sesama manusia. Mendidik dengan cara yang baik,” kata Sarimah.

Tidak semua orang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris seperti ‘orang putih’. Semuanya bergantung kepada latar belakang, kehidupan sosial dan tahap pendidikan. Tidak semua orang berpendidikan fasih bahasa Inggeris.

Penulis sendiri masih belajar dan suatu ketika kecil pernah mengambil upah mengopek kerang semata-mata ingin membeli senaskhah kamus bahasa Inggeris.

Ini bukan soal bahasa atau sebutan, ini soal etika dan budaya mendidik orang kita. Kita rasa bijak, ironinya tidak cerdik dalam semua aspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI