PETALING JAYA – Rapper kumpulan K-Clique, MK menjadi perhatian dan bualan hangat netizen selepas dilihat memakai seutas gelang emas dalam satu video TikTok yang dimuat naiknya.
Menerusi video berdurasi 17 saat itu, MK yang segak dan lengkap berpakaian baju Melayu rona hijau berserta songkok dilihat sedang ‘miming’ sebuah lagu ala-ala memikat gadis.
Seperti selalunya, ramai gadis akan terpesona melihat senyuman manis dan gaya MK, namun kali ini, rata-rata pengikut dilihat memberi kritikan dan kecaman kerana gelang emas yang dipakainya itu.
“Haram tetap haram orang kampungku. Mahu beli emas untuk simpanan dibolehkan, tetapi kalau pakai memang haram untuk lelaki Islam.
“Nampak gelang emas terus jadi turn off (terbantut). Sorry (maaf) MK, cuma nak ingatkan lelaki haram pakai emas,” tulis netizen pada ruangan komen.
Pada masa sama, ramai peminat dan pengikutnya yang cuba untuk menasihati penyanyi kelahiran Sabah itu dengan cara yang baik dan lembut menerusi komen yang ditinggalkan.
Tidak kurang juga, ada segelintir wanita yang tampil back up (menyokong) tindakan yang dilakukan MK dengan mengatakan itu hak dan urusan penyanyi tersebut.
Terdahulu, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, turut pernah menjadi kontroversi dan bualan dalam kalangan netizen apabila dilihat kerap mengenakan rantai emas pada lehernya. – K! ONLINE