KLANG – Tindakan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Selangor mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.
Kapal yang berdaftar di Panama itu ditahan sekitar 4.5 batu nautika Barat Daya Tanjung Gabang, dekat sini, pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya menjalankan rondaan rutin Op Ehsan di sekitar perairan berkenaan.
Katanya, kapal yang sedang berlabuh itu dikesan hasil maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah.
“Kapal tangki itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
“Seramai 25 kru kapal termasuk nakhoda berusia 30 hingga 57 tahun turut diperiksa dan kesemua warga China itu memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohammad Rosli, siasatan mendapati pelabuhan terakhir kapal itu dari Singapura menuju ke Afrika Selatan.
“Perintah penahanan ke atas kapal itu sudah dikeluarkan untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa memandang serius pematuhan undang-undang bagi memastikan keselamatan perairan Selangor.
“Justeru, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan mendapatkan kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut bagi mengelak dikenakan tindakan,” jelasnya. – K! ONLINE