PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar seperti tanah gambut serta tapak pelupusan sampah kerana ketika ini negara sedang mengalami cuaca panas dan kering.
Nasihat itu diberikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan negara kini sedang berada di penghujung Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac 2021.
Menurut beliau, sepanjang tempoh ini taburan hujan akan berkurangan di seluruh negara dan menyebabkan cuaca panas dan kering khususnya di negeri di sebelah utara Semenanjung Malaysia.
“Sebagai persediaan mendepani cuaca panas dan kering, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mencemarkan udara dengan melaksanakan langkah-langkah mencegah pembakaran terbuka.
“Pengguna jalan raya juga hendaklah memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, atau menggunakan kenderaan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sebagai usaha untuk memastikan kualiti udara negara sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Prosedur Tetap Operasi bagi melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut sejak 9 Februari 2021.
“Aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan tindakan yang lebih tegas akan diambil untuk menangani isu pencemaran udara yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan jerebu tempatan yang sekali gus menjejaskan kesihatan awam,” ujarnya.- K! ONLINE