BANGKOK – Polis Thailand merampas sejumlah 37 tan sarung tangan getah terpakai bernilai 6 juta baht (RM807,692) yang dibasuh dan dibungkus kembali sebelum dijual semula, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.
Rampasan idibuat apabila polis menyerbu sebuah gudang di daerah Lat Lum Kaeo dalam wilayah Pathum Thani, tengah Thailand baru-baru ini dan menemui seorang wanita yang sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan.
Serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada masyarakat setempat bahawa ada kegiatan menjual sarung tangan getah yang telah digunakan di kawasan tersebut.
“Ketika serbuan dibuat, seorang wanita bernama Wanida Srichampa, 53, berada di premis dan memberitahu bahawa dia merupakan penjaga gudang itu.
“Wanita itu memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan,” kata Komander Polis daripada Jabatan Perlindungan Pengguna, Mejar Jeneral Natthasak Chaovanasai.
Tambah Natthasak, wanita berkenaan mendedahkan bahawa gudang itu dimiliki oleh Timbalan Pengarah Jualan Thai Samsung Life Insurance Co, Natthachakkrapan Mongkholsurathan.
Wanida kini berada dalam tahanan polis dan pihak berkuasa akan menahan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu. – Agensi