fbpx

Jentera serangan Arsenal tumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol untuk memiliki kelebihan selesa ke atas Benfica di Stadium Olimpico awal pagi semalam. – AFP

ROM – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kecewa dengan persembahan ditampilkan barisan pemainnya ketika seri 1-1 menentang Benfica pada aksi pertama pusingan 32 terbaik Liga Europa di Stadium Olimpico awal pagi semalam.

Dalam aksi itu, Benfica yang turun sebagai tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Pizzi pada minit ke-51 sebelum Bukayo Saka menyamakan kedudukan buat The Gunners dua minit kemudian.

Arteta, 39, wajar berasa kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya apabila mereka hanya melakukan dua percubaan tepat ke arah pintu gol Benfica sepanjang aksi tersebut.

“Saya gembira dari segi pe­nguasaan bola kerana kami turut mencipta banyak peluang. Bagaimanapun, saya kecewa penyudah jentera serangan sangat tumpul.

“Saya juga kecewa kerana kami membenarkan Benfica menjaringkan gol. Situasi ini akan menjadikan aksi timbal balik nanti lebih sukar,” kata Arteta yang pernah menyarung jersi Arsenal dari 2011 hingga 2016.

Pada masa sama, pengendali dari Sepanyol itu mengakui, pemain-pemainnya lemah apabila berdepan situasi bola mati yang menjadi punca mereka menghadiahkan sepakan penalti kepada jaguh Portugal tersebut.

“Kami memberikan sepakan sudut dan daripada set-piece itu mereka berjaya mendapat penalti. Memang kecewa kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi selepas kami ada peluang yang sangat cerah untuk pulang dengan kemenangan,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI