LONDON – Bintang Chelsea, Olivier Giroud akan terus menggalas peranan selaku penyerang utama pasukannya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Stadium St. Mary malam ini.
Giroud membuktikan sentuhan penyudahnya masih belum berkarat meskipun sudah berusia 35 tahun sekali gus memberikan harapan buat Thomas Tuchel yang kini ‘pening kepala’ mencari formula terbaik buat skuad bimbingannya.
Keputusan Tuchel, 48, menyenaraikan Giroud dalam kesebelasan utama menggantikan Tammy Abraham yang mengalami kecederaan, ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya meledak satu gol ketika menewaskan Newcastle United 2-0 pada Selasa lalu.
“Saya tidak boleh cepat berasa selesa, sebaliknya perlu terus menampilkan persembahan terbaik. Saya tidak kisah jika gagal menjaringkan gol, asalkan dapat memberi kemenangan kepada pasukan.
“Saya gembira dengan peranan sekarang walaupun ia masih boleh ditingkatkan ke tahap yang lebih bagus. Saya harap kami dapat mengekalkan momentum semasa untuk terus mencatat kemenangan demi kemenangan,” kata Giroud.
Chelsea diramal tidak berdepan masalah besar untuk meraih tiga mata penuh ke atas Southampton sekali gus mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan EPL sejak 31 Januari lalu.
Lebih-lebih lagi apabila Southampton kini bergelut untuk kembali berada pada tahap terbaik selepas merekodkan lima kekalahan daripada enam perlawanan terakhir mereka.
Kali terakhir Southampton mencatat kemenangan dalam saingan EPL ketika menewaskan Liverpool 1-0 hasil jaringan tunggal Danny Ings pada 5 Januari lalu. – AGENSI