PETALING JAYA – DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM University) dan Sterling Insurance Brokers Sdn. Bhd. (SIB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan program latihan eksekutif dalam bidang pengurusan risiko dan perancangan strategik.
Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HICOM University College Sdn. Bhd. (HUCSB), Prof. Datuk Seri Dr. Omar Osman berkata, melalui kerjasama tersebut, DRB-HICOM University akan menawarkan program tersebut melalui unit latihan mereka iaitu Institut Latihan Korporat.
“Ini akan memberi peluang kepada eksekutif korporat dan juga orang awam untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pekerjaan mereka dalam bidang pengurusan risiko serta perancangan strategik.
“Seterusnya, ia dapat membuka jalan bagi graduan yang ingin memajukan kerjaya mereka dalam bidang ini, untuk melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada majlis pemeteraian yang diadakan secara maya, Omar mewakili DRB-HICOM University manakala SIB diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sterling Group, Wan Muzamir Fitri Che Wan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sterling Group, Abdul Halim Jantan.
Omar menjelaskan, kerjasama tersebut akan membolehkan pengamal industri dan pakar-pakar risiko dari Sterling Group berkongsi pengalaman serta pengetahuan luas mereka yang akan dibangunkan sebagai bahan latihan dalam silibus program.
“DRB-HICOM University akan kemudiannya menawarkan program ini kepada pelajar dan eksekutif yang ingin meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka dalam bidang pengurusan risiko dan perancangan strategik.
“Ia juga akan ditawarkan menerusi konsep micro credential, sejajar dengan hala tuju industri pendidikan global masa kini,” jelasnya.
Sementara itu, Halim menjelaskan, usaha sama tersebut merupakan satu detik bersejarah bagi Sterling Group.
“Kami gembira dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran khusus kami dalam bidang pengurusan risiko.
“Ini membolehkan Pengurus Risiko memperolehi pengetahuan yang lebih mendalam dan meningkatkan kecekapan kerja mereka.
“Kerjasama dengan DRB-HICOM University ini membolehkan kami memainkan peranan penting dalam memperlengkapkan tenaga kerja negara dengan kemahiran yang relevan dan meningkatkan taraf industri kini,” jelasnya.