MELAKA – Kerajaan negeri berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberi kelonggaran kepada penduduk negeri ini untuk merentas daerah bagi memulihkan ekonomi sektor pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor itu terus mengalami pengucupan ekoran terpaksa bergantung kepada sumbangan kecil penduduk di setiap daerah.
Katanya, justeru pihaknya berharap agar MKN dapat mempertimbangkan perkara tersebut, apatah lagi sektor pelancongan juga merupakan penyumbang besar iaitu kira-kira 48 peratus pendapatan negeri.
“Negeri ini adalah negeri kedua terkecil selepas Perlis dan hanya mempunyai tiga daerah sahaja, jadi kita menghadapi kesukaran untuk memulihkan ekonomi dengan hanya bergantung kepada penduduk di setiap daerah.
“Sehubungan itu, kita berharap pihak MKN dapat memberi kelonggaran kepada penduduk negeri ini untuk merentas daerah bagi” menghidupkan” semula ekonomi negeri menerusi industri pelancongan yang kini dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.
Katanya, dengan kelonggaran tersebut, kerajaan negeri juga dapat mengaktifkan semula Kempen Orang Melaka Melawat Melaka (Melakan Visit Melaka) 3.0, yang menggalakkan penduduk tempatan melawat lokasi-lokasi pelancongan.
“Saya percaya orang Melaka mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan pada PKP lalu Melaka jatuh di tangga ketiga kadar pematuhan SOP tertinggi dengan 98 peratus,” ujarnya.
Muhammad Jailani turut meminta semua pengusaha pelancongan agar terus memantau dan memastikan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan tiada lagi sekatan terhadap sektor pelancongan pada masa akan datang. -K! ONLINE