PERTAMA kali bersiaran dalam platfom penstriman Netflix pada 2018, filem romantik remaja To All The Boys I’ve Love Before telah memperkenalkan gadis bernama Lana Condor dengan gandingannya, jejaka kacak Noah Centineo kepada khalayak.
Dimulakan dengan siri pertama, To All The Boys I’ve Love Before kemudian To All The Boys: P.S I Still Love You (2020) dan terakhir, To All The Boys: Always and Forever, trilogi tersebut pantas menaikkan nama Condor sebagai pelakon Asia-Amerika yang mencipta nama di pentas Hollywood.
Keserasian sosok wanita yang membawakan watak sebagai Lara Jean juga pernah disifatkan sebagai kemunculan debut Condor dalam dunia lakonan.
Untuk yang baru mengenalinya, Condor sebelum ini terlebih dahulu muncul dalam filem adiwira X-Men Apocalypse (2016) yang memegang peranan sebagai Jubilee termasuk Patriots Day (2016) dan High School Lover (2017).
Sedikit pengenalan mengenai Condor atau nama lengkapnya Lana Therese Condor, wanita berusia 24 tahun itu memulakan aktiviti seninya sebagai bintang YouTuber dan kemudian melebarkan sayap sebagai bintang filem.
Dilahirkan di Vietnam, Condor telah dibesarkan keluarga angkatnya iaitu pasangan Amerika Syarikat, Mary Carol Condor bersama Bob Condor yang menetap di Chicago.
Bercerita mengenai filem yang telah mengangkat namanya. Condor mengakui sedikit tersentuh apabila naskhah trilogi berkenaan telah sampai ke penghujung.
Naskhah terakhir To All The Boys: Always and Forever telah menjadi penentu hala tuju hubungan cinta antara Lara Jean dengan kekasihnya Peter Kavinsky (Noah Centineo).
Adaptasi
Kata Condor, bagi menjayakan filem To All The Boys: Always and Forever dia banyak berbincang dengan pengarah, penulis skrip dan kru yang terlibat bagi memastikan watak Lara Jean dapat diterjemahkan dengan cemerlang.
“Saya ingin penonton dapat merasai apa yang dirasakan oleh Lara Jean yang dahulunya seorang remaja sekolah tinggi berubah menjadi dewasa, sekali gus membuat keputusan penting dalam hidupnya.
“Satu pengalaman yang penuh dengan emosi kerana sejak pertama kali membintangi filem ini pelbagai peristiwa terbaik dan naik turun kehidupan saya terangkum di dalamnya,” kata kekasih kepada pelakon Anthony De La Torre itu.
Mengulas lanjut mengenai filem yang adaptasi daripada novel remaja tulisan Jenny Han tersebut, Condor dan penulis buku juga kerap meluangkan masa berbual menerusi telefon.
Tidak ubah seperti adik-beradik, Condor dan Jenny Han sentiasa berbincang dan saling bertukar pendapat bagi memastikan kisah percintaan mengenai gadis Asia-Amerika itu berjaya ditonjolkan dengan baik.
“Saya anggap dia sebagai kakak dan kami banyak berbual mengenai pelbagai perkara. Dia mahu saya membawakan watak Lana iaitu gadis kacukan Asia-Amerika yang mendapat peluang sama atau setaraf seperti Jennifer Lawrence sebagai Katniss (The Hunger Games) dan Kristen Stewart sebagai Bella dalam francais mega Twilight,” jelas Condor tentang pesanan semangat daripada Jenny Han kepadanya.
Kesinambungan
Ditanya sama ada berpuas hati dengan pengakhiran filem tersebut, Condor secara peribadinya mahu menyaksikan perkembangan hubungan Lara Jean dan Peter Kavinsky setelah memasuki kolej dan seterusnya bekerja.
Dia mahu melihat kematangan pasangan idola ramai dalam mengharungi kehidupan dewasa.
“Walau bagaimanapun pengakhiran yang ditulis oleh Jenny Han ialah penamat terbaik. Tetapi saya ingin lihat bagaimana kehidupan dan pekerjaan mereka.
“Saya tahu mereka akan berkahwin dan hidup bahagia selamanya. Tetapi sebelum itu mereka perlu belajar berdikari dan matang sebelum bersedia untuk melengkapi antara satu sama lain.
“Lara Jean yang bekerja sebagai seorang penulis di sebuah akhbar sedang menyiapkan tugasnya di sebuah kafe.
“Ketika itu kedua-dua mereka yang telah dewasa bertemu dan menjalani kehidupan baharu.
“Semua itu pasti sesuatu yang menyeronokkan,” jelas Condor panjang lebar mengenai harapannya mahu melihat kesinambungan keempat naskhah berkenaan.
Sewaktu telah bersedia melepaskan karakter yang telah menjadi separuh daripada hidupnya, Condor sebenarnya sangat merindui pasukan produksi yang telah digauli sejak 2017 itu.
Biarpun begitu, Condor tetap berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan cerita yang bermula dengan cinta monyet remaja kemudian berubah menjadi matang seiring peningkatan usia.
Pengakhiran cerita
“Perasaannya sangat beremosi dan saya berasa terlalu gembira. Secara peribadi saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan filem tersebut kerana sangat menyukainya.
“Apabila melihat pencapaian dan di mana kedudukan saya sekarang, saya cukup senang. Kami telah melalui banyak perkara bersama, di lokasi penggambaran dan promosi secara besar-besaran,” jelasnya.
Baginya filem tersebut turut membuktikan bagaimana seorang remaja yang selama ini hanya memikirkan tentang percintaan berubah menjadi pengembara kehidupan sebenar.
“Kitaran hidup itu serupa apabila sampai masanya, kita semua akan tamat persekolahan dan mula memilih haluan sendiri dalam menentukan masa depan.
“Setiap pilihan ada risiko yang kemungkinan baik atau buruk. Tetapi disebalik itu semua tetap mempunyai kisah tersendiri yang kita sendiri tidak tahu.