KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 jun ini bagi pendengaran permohonan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman guru tadika, M. Indira Gandhi berhubung dakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal melaksanakan waran komital bagi menangkap bekas suami dan memulangkan anak perempuannya yang dilarikan lelaki itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi di sini selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof yang berlangsung dalam talian hari ini.
Rajesh turut memberitahu, pada tarikh sama mahkamah turut menetapkan pendengaran permohonan interogatori untuk mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
“Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis bagi kedua-dua permohonan itu pada 23 Mac ini manakala hujahan balas difailkan pada 6 April,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Indira antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan anaknya. -K!ONLINE