KAJANG – Seorang lelaki dan teman wanitanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai akibat didera di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Semenyih di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian oleh petugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kajang kira-kira pukul 1.20 petang semalam.
“Menurut pengadu, mangsa dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dipukul oleh suspek lelaki yang juga merupakan teman lelaki ibunya sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan tidak sedarkan diri seterusnya dikejarkan ke hospital,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zaid, susulan laporan yang diterima, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelaki wanita berkenaan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta.
“Tangkapan dibuat kira-kira pukul 5.45 petang hari yang sama dan kini direman selama enam hari sehingga 24 Februari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Faizal Amir di talian 011-33319871,” ujar beliau. – K! ONLINE