PETALING JAYA – “Ada yang menyamakan saya dengan Shalma Aina, Azira Shafinaz, Iman Troye dan ramai lagi. Mungkin seakan-akan sama itu yang membuatkan mereka keliru.
“Yang membezakan hanya dengan gaya berkaca mata. Kadangkala, ada juga yang tersilap ingatkan saya Angelina Jolie.”
Demikian kata penyanyi Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 21, kepada Kosmo! ketika sidang media secara virtual menerusi aplikasi Zoom semalam.
Menjadi rapper pertama di Malaysia dengan imej berbaju kurung dan bertudung ketika membuat persembahan, Bunga mengakui masih hijau dan kurang popular.
Meskipun begitu, dia tidak ralat biarpun ada segelintir pihak belum mengenali dirinya. Malah, lagu nyanyiannya juga lebih menonjol berbanding dirinya selaku penyanyi.
Nama anak jati dari Perak itu mula menjadi sebutan selepas mengadakan persembahan di Festival Seni Melayu ‘Pesta Raya’ di Singapura dan menjadi tular dalam media sosial.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, penuntut Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 itu bakal melancarkan single berjudul Intan Payung kolaborasi bersama Noraniza Idris.
“Sejak kecil lagi saya memang sudah meminati Kak Ani jadi semestinya saya teruja apabila dimaklumkan beliau bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Intan Payung.
“Lagu ini mengisahkan tentang kisah hidup saya bermula dari bawah untuk sampai ke tahap sekarang sehingga ke hujungnya. Banyak yang saya lalui sebenarnya terutama dari aspek kecaman dan kritikan.
“Apa yang penting, keinginan kita bagi mencapai sesuatu perkara. Kita perlu kuat untuk bertahan sehingga berjaya,” kata Bunga.
Lagu Intan Payung nyanyian Bunga dan Noraniza Idris menggabungkan muzik tradisional dan moden.
Nukilan lagu ditulis oleh Bunga, manakala melodinya merupakan idea daripada Luca Sickta. – K! ONLINE