fbpx

Rampas RM168.26j dadah sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Johor Bahru bulan lalu.

PETALING JAYA – Erimin 5, ganja dan syabu adalah antara dadah dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dianggarkan bernilai RM168.26 juta dalam tempoh sebulan sahaja bermula 1 hingga 31 Januari lalu di seluruh negara.

Menerusi beberapa siri tangkapan dan serbuan, sebanyak 22 sindiket telah ditumpaskan termasuk menyita pelbagai aset kumpulan penjenayah itu bernilai RM26.1 juta.

Pengarah JSJN, Datuk Razarudin Husain berkata, seramai 9,323 individu termasuk 28 penjawat awam turut diberkas atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Menurutnya, sepanjang bulan lalu, JSJN merampas 27,623.47 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah serta 4,955.61 liter cecair bahan larangan itu.

“Dadah jenis erimin 5 menca­tatkan nilai rampasan tertinggi iaitu seberat 1,897.47 kilogram (kg) bernilai RM142.31 juta.

“Ia diikuti ganja serta syabu dengan nilai rampasan masing-masing RM70 juta (281.54kg) dan RM7.56 juta (209.79kg),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Razarudin memberitahu, polis juga berjaya merampas 21,501.45kg daun ketum ­dengan nilai rampasan RM220,000 sepanjang bulan lalu.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJN akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan terhadap sindiket pengedaran dadah agar tindakan dapat diambil.

“JSJN akan sentiasa menjalankan hubungan erat dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeledupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras habis-habisan,” ujarnya.

Kosmo! pada Isnin lalu mela­porkan, hanya menuntut ilmu di internet dengan menyaksikan pelbagai video ringkas dan mengikuti langkah-langkah mudah, sesiapa sahaja mampu mempelajari cara menghasilkan dadah sintetik khususnya syabu.

Bahan mentah untuk memproses dadah itu juga masih mudah diperoleh di farmasi dan kedai perkakasan sehingga menyebabkan penghasilannya terus berlaku di negara ini walaupun pelbagai serbuan dilakukan pihak berkuasa.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI