SEPANG – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung rakaman video berdurasi 56 minit dua saat yang tular dan dihantar seorang doktor di Facebook mengenai pengambilan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis telah merakam percakapan doktor tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya.
Terdahulu, doktor berkenaan, Dr. Roland Victor Aloysius Victor tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung hantaran rakaman video yang dikongsi beliau dalam Facebook rasmi The KL Sky Clinic mengenai pengambilan vaksin Covid-19 dan keberkesanannya.
Dia tiba di IPD Sepang pada pukul 2.15 petang bersama peguam, Alicia Nicholson dari firma guaman Sudesh & Alicia dan selesai proses soal siasat kira-kira tiga jam kemudiannya.
Roland ketika ditemui memberitahu, beliau hadir ke IPD Sepang selepas mendapat panggilan telefon daripada pegawai polis bagi dirakam percakapan berhubung rakaman video yang tular tersebut.
“Dalam rakaman video itu, sebagai seorang doktor, saya ada beri beberapa pandangan mengenai pengambilan vaksin Covid-19. Hari ini saya hadir bagi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa,”katanya.
Sebelum ini, rakaman video oleh Roland dari The KL Sky Clinic tular selepas dia menjelaskan pandangannya dan risiko mengenai pengambilan vaksin Covid-19.
Dalam rakaman video tersebut juga, Roland turut memberikan penerangan mendalam tentang fungsi, keberkesanan dan bagaimana vaksin berfungsi. – K! ONLINE.