ISLAMABAD – Tiga pendaki Gunung K2 di Pakistan yang hilang selama seminggu disahkan maut ketika cuba menakluk puncak kedua tertinggi dunia itu, demikian menurut laporan pihak berkuasa tempatan, hari ini.
Tiga individu yang dikenali sebagai John Snorri dari Iceland, Juan Pablo Mohr dari Chile dan warga tempatan, Muhammad Ali Sadpara dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menuju puncak gunung setinggi 8,661 meter di atas paras laut, minggu lalu.
Kumpulan tersebut dikatakan terputus hubungan dengan Base Camp Gunung K2 pada 5 Februari dan satu misi mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran termasuk menggunakan helikopter dan pesawat tentera.
“Semua pakar cuaca, pendaki gunung dan pihak tentera Pakistan telah mencapai kesimpulan bahawa manusia tidak dapat hidup selama itu dalam cuaca yang begitu sejuk.
“Oleh yang demikian, kami mengumumkan bahawa mereka bertiga diisytiharkan maut dalam insiden pendakian ini,” kata Menteri Pelancongan Wilayah Gilgit – Baltistan,Raja Nasir Ali Khan,
Khan bagaimanapun memberitahu bahawa misi pencarian mayat akan diteruskan.
“Keluarga saya telah kehilangan seorang ayah yang baik dan rakyat Pakistan telah kehilangan seorang pendaki gunung yang hebat, berani dan berpengalaman,” kata anak Muhammad Ali, Sajid Ali Sadpara kepada wartawan sebaik sahaja pengumuman itu dibuat. – AFP