SEVILLE – Penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland mengakui mengambil inspirasi daripada prestasi memuncak pemain Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe untuk muncul wira pasukannya selepas menewaskan wakil La Liga, Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Sebagai rekod, Mbappe telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila mencetak jaringan hatrik untuk menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Camp Nou kelmarin.
Kata Haaland, prestasi yang dipamerkan oleh Mbappe itu membuatkannya cukup bersemangat untuk melakukan perkara yang sama sehingga berjaya meledak dua gol untuk membantu pasukan menewaskan Sevilla di Stadium Ramon Sanchez itu.
“Saya menyaksikan aksi PSG bertemu Barcelona dan bagaimana Mbappe dapat menjaringkan tiga gol yang cukup menarik untuk membantu pasukannya pada perlawanan itu. Justeru, saya mengambil inspirasi daripadanya untuk membantu pasukan kali ini.
“Secara jujur, pujian juga wajar diberikan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain kerana telah mempamerkan aksi cukup bermotivasi meskipun untuk saingan Bundesliga, kami gagal meraih keputusan yang diharapkan pada beberapa perlawanan lepas.
“Namun, kami kekal positif dan percaya dengan corak taktikal dan strategi yang ditetapkan oleh ketua jurulatih (Edin Terzic) dan dia juga memberi keyakinan tambahan buat saya untuk meledak gol pada aksi kali ini.
“Cuma, kami masih belum boleh mendabik dada kerana saingan ini masih lagi terbuka memandangkan keputusan yang diraih belum cukup selesa selepas Sevilla turut berjaya meledak dua gol,” kata penyerang antarabangsa Norway itu. – AGENSI