ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan untuk menyeludup kira-kira 100 kilogram (kg) ketum yang ditemui di pesisiran pantai Kuala Jerlun dekat sini pagi ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, daun ketum itu ditemui dalam beberapa bungkusan plastik hitam kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
“Daun-daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand memandangkan harga pasaran di sana melonjak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika ini dipercayai harga bagi sekilogram daun ketum mencecah RM180 berbanding RM40 sebelum pelaksanaan PKP, sekali gus merancakkan lagi aktiviti penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Noor Azreyanti, secara keseluruhannya nilai rampasan daun ketum itu dianggarkan mampu mencecah RM18,000 jika dipasarkan di Thailand.
“Semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.” ujarnya.
Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE.