fbpx

Zon 1 bomba Perak terima 19 panggilan kes kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yusoff (tengah) memeriksa alat pencegah kebakaran ketika Pemeriksaan Keselamatan Semperna Sambutan Tahun Baru Cina 2021 di Lotus's Ipoh Bercham hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Sebanyak 19 kes kebakaran terbuka dengan melibatkan satu kematian direkodkan di tiga daerah di bawah Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam tempoh tiga minggu pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Zon 1, Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, keadaan cuaca panas ketika ini menyebabkan banyak panggilan diterima untuk operasi pemadaman kebakaran lalang dan terbuka di daerah Kinta, Kampar dan Kuala Kangsar.

Katanya, kes kebakaran terbaharu direkodkan di Hutan Simpan Gunung Bubu di Kuala Kangsar membabitkan kemusnahan kawasan seluas dua hektar.

“Kebakaran yang agak kritikal itu berlaku Isnin lalu di mana api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya semalam.

“Kes kebakaran lalang juga direkodkan pada hari sama berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan di mana sebuah pondok musnah terbakar dan seorang lelaki warga emas maut,” katanya kepada pemberita  selepas membuat pemeriksaan keselamatan sempena Tahun Baharu Cina 2021 di pasar raya Lotuss Ipoh Bercham di sini hari ini.

Menurut Mohamad Yusoff, 531 anggota dari sembilan balai di Zon 1 bersiap sedia berdepan kes kebakaran berikutan cuaca panas yang dijangka berterusan hingga April depan.

Katanya, sebagai langkah persediaan, kelengkapan logistik dipersiapkan termasuk 18 jentera operasi dan kenderaan utiliti serta 27 pam angkut.

“Antara kawasan panas yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran terbuka ialah Bukit Berekeh, Sungai Siput; Hutan Simpan Gunung Bubu, Kuala Kangsar; Bukit Batu Putih, Gopeng dan Kledang Saiong di Ipoh.

“Kita melakukan pemantauan di kawasan tersebut selain di tepi lebuh raya yang kerap berlaku kebakaran belukar dan lalang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemeriksaan yang dilakukan bagi tujuan menghapus bahaya kebakaran, beliau berkata, lebih 100 premis perniagaan dan pusat membeli-belah di tiga daerah di Zon 1 diperiksa sepanjang musim perayaan tersebut.

“Pemeriksaan keselamatan ini dijalankan bagi memastikan laluan keluar ke tempat selamat, kepungan tangga, lobi menentang kebakaran dan sistem kecemasan kebakaran sesebuah premis berada dalam keadaan baik.

“Setakat pemeriksaan dilakukan, tiada kesalahan besar dikesan kerana kebanyakan pusat membeli belah mempunyai CF (sijil layak menduduki) dan mereka juga tidak melakukan simpanan barang dalam kuantiti yang banyak disebabkan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI