fbpx

Penyamun sorok bayi tiga bulan dalam tong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang suri rumah cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga tahun hilang selepas disorokkan oleh dua penyamun yang menyamar wakil syarikat kurier di sebuah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong di sini Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, penyamun berkenaan dikatakan bertindak demikian selepas mereka gagal memperolehi wang sebanyak RM50,000 seperti yang dimahukan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa berusia 30 tahun itu sambil memberitahu ada bungkusan yang dikirimkan kepadanya.

“Wanita itu membuka pintu sebelum salah seorang daripada suspek mengeluarkan sebilah pisau dan bercakap dalam bahasa Hokkien memintanya supaya tidak menjerit jika mahu selamat.

“Suspek telah mengambil rantai emas bernilai RM1,200 sebelum mereka meminta wang tunai sebanyak RM50,000, namun mangsa tiada wang tunai sebanyak itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Soffian berkata, ketika suspek berusaha meminta wang daripada mangsa, salah seorang daripada mereka dikatakan sempat mencapai bayi lelakinya berumur tiga bulan.

“Suspek telah menyorokkan bayi itu di dalam satu tong putih di dalam bilik dalam keadaan mulutnya disumbat dengan tuala kecil dan ditampal pita pelekat.

“Setelah gagal mendapatkan wang yang diminta, kedua-dua suspek telah beredar meninggalkan rumah tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata, anak perempuan mangsa berumur tiga tahun bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek, manakala suaminya berada di tempat kerja di Batu Kawan dekat sini.

Sementara itu, Soffian berkata, pihaknya meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI