REMBAU – Seronok berkumpul dan ada pula yang mempamerkan aksi menunggang motosikal secara berbahaya, enam remaja dikompaun RM1,000 di Jalan Tampin Kanan-Kundur, di sini, 16 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintendan (DSP), Hazri Mohamad berkata, remaja lelaki yang masih bersekolah dengan lingkungan usia 14 hingga 17 tahun itu dikompaun polis.
Menurutnya, kesemuanya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dikompaun di bawah Peraturan 10, Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Malah, Unit Risikan Operasi 42 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan juga telah membuat tangkapan ke atas tiga daripada enam remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun yang menunggang dengan kelajuan yang berbahaya di lokasi berkenaan pada pukul 6.29 petang.
“Selain itu, remaja berkenaan juga didapati bersaing sesama sendiri dan membuat aksi wheely (dengan mengangkat tayar hadapan) sambil melakukan aksi Scorpion(berdiri sebelah kaki di atas motosikal) dimana aksi mereka merbahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain bermula dari arah Tampin Kanan menghala ke arah Kundur,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Hazri berkata, tiga remaja itu telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Difahamkan, dalam perkongsian di Facebook rasmi Skuad 42 Unit RO JSPT IPK NS, sebanyak 27 keping saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan motosikal turut disita kerana didapati struktur kenderaan telah diubahsuai.-K!ONLINE