PETALING JAYA – Bagi memperkasakan operasi Ops Benteng di seluruh negara, Tentera Darat Malaysia (TDM) semalam menerima kira-kira 180 buah motosikal jenis Scrambler 250cc.
TDM dalam satu kenyataan berkata, dengan penerimaan aset terbaharu ini, ia amat bertepatan dengan salah satu penumpuan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan”.
“Sekali gus ia akan memberi penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TDM berada di tahap terbaik untuk sebarang aturgerak operasi,”katanya di sini semalam.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal Scrambler 250CC bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP), Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.
Turut hadir Pengarah Syarikat Kawasaki Motors Sdn. Bhd., Datuk Jefry Lim dan Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Muhammad Ariff Soo Abdullah.
Pada majlis tersebut, Zamrose turut diberi taklimat berkenaan pengoperasian kenderaan tersebut dan dipertontonkan dengan demonstrasi tunggangan motosikal tersebut oleh Tim Army Red Warrior.-K! ONLINE