fbpx

Nadiyah Shahab keluar gelanggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIYAH SHAHAB

MEMASUKI dunia glamor sebagai model sekitar lima tahun lalu membuatkan si cantik bernama Nadiyah Shahab tidak pernah terfikir tentang perjalanan kariernya boleh bertahan sehingga kini.

Berawal sebagai model, bakatnya kemudian terserlah sebagai pengacara bagi sebuah rancangan travelog, Lost At Sea yang bersiaran dalam saluran berbahasa Inggeris, Go Asean sekitar 2016.

Rezeki wanita kelahiran Temasik itu mencurah-curah dan mula bertukar arah ke bidang lakonan apabila dia diberi kepercayaan membawakan watak sebagai Keisha Adriana menerusi naskhah perdananya, Encik Suami Mat Celup pada 2017.

Bermula dari situ, pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 30, mula bertatih dalam bidang seni sekali gus mengukuhkan tapak kerjayanya bergelar sebagai anak seni.

Mengikut jejak langkah ramai artis senegaranya, Nadiyah mengambil kesempatan untuk migrasi dan terus menetap di Malaysia demi menggapai impian.

WANITA berusia 30 tahun itu menerima hakikat rezeki untuk mempunyai zuriat mungkin belum menjadi miliknya dan suami.

Dikenali

Tahun demi tahun, Nadiyah mula menempa nama dan bakat lokanannya mula diterima ramai setelah memberikan impak luar biasa menerusi naskhah Lafazkan Kalimah Cintamu.

Menerusi drama bersama gandingan Farid Kamil dan Nelydia Senrose tersebut, Nadiyah membawakan watak sebagai Tengku Natasha, seorang wanita yang sering menyemarakkan api kemarahan dan sarat dendam.

“Alhamdulillah. Daripada situlah nama saya semakin dikenali penonton dek keberkesanan watak antagonis yang dijayakan.

“Tidak dinafikan pada masa itu ramai yang membenci watak yang saya bawakan. Ramai yang DM (direct message) memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya,” katanya kepada HibGlam.

Tambah graduan undang-undang dari sebuah universiti di London itu, selepas menerajui naskhah cinta romantik tersebut, dia mula mendapat banyak tawaran watak antagonis.

Jelas Nadiyah lagi, naskhah terbaharunya, Tercipta Satu Ikatan arahan sutradara Pali Yahya yang baru menamatkan siaran dalam televisyen juga masih memaparkan persembahan watak antagonis.

“Jujur saya katakan kadang-kadang teringin nak bawakan watak berbeza seperti perempuan kampung, wanita baik-baik, psiko atau aksi.

“Tetapi mungkin ini sudah laluan rezeki saya. Mungkin orang kenal saya pun dengan watak antagonis. Jadi saya terbuka sahaja,” tuturnya bersulam tawa.

ANAK sulung daripada dua beradik itu turut mengakui sudah bersedia untuk memperlahankan rentak karier seninya jika sudah tiba masanya nanti.

Perniagaan

Membuka lembaran 2018, fasa kehidupan Nadiyah sekali lagi berubah 360 darjah apabila mendirikan rumah tangga dengan rakan baiknya yang juga pelakon, Ben Ali.

Fasa pertunangan selama hampir 11 bulan kemudiannya memasuki gerbang perkahwinan pada 11 November 2018.

Kongsi Nadiyah, keputusan Ben untuk ‘cuci tangan’ dan berehat dari dunia seni sekali gus membuka perniagaan menerusi label Absolut Chocolat bermula 2019 merupakan satu langkah tepat.

“Alhamdulilah, perniagaan yang kami usahakan diterima ramai hingga kini.

“Bawah label Absolut Chocolat, terdapat dua lagi jenama iaitu Absolut Food Festival dan Obsolut Talent & Management,” katanya.

Beritahu Nadiyah, perniagaan yang diusahakan mereka berdua sudah mempunyai kilang sendiri yang berpangkalan di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor berdekatan dengan kediaman mereka.

Buat masa ini, fokus Nadiyah tertumpu sepenuhnya membantu suami menguruskan perniagaan ekoran aktiviti seni yang terhad.

Tambahnya, jika sudah tiba masa, dia juga bersedia memperlahankan karier seninya demi keluarga dan perniagaan sekali gus memilih untuk bekerja di belakang tadbir sahaja.

AKUI Nadiyah, dia kini lebih memfokuskan perniagaan yang diusahakan bersama suaminya berbanding kerja-kerja seni.

Timang anak

Suka duka jatuh dan bangun bersama, hampir tiga tahun bersama, Nadiyah serta Ben juga seperti mana-mana pasangan. Mereka turut mengimpikan zuriat penyeri cinta, sekali gus penyambung keturunan keluarga.

“Jujur kami berdua memang sudah bersedia dan mengimpikan kehadiran cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga.

“Tapi apakan daya, rezeki masih belum kunjung tiba buat kami. Mungkin ada hikmah tersendiri. Tuhan beri kami berdua rezeki dalam bidang perniagaan dahulu.

“Jadi rezeki untuk memiliki anak mungkin agak tertunda. Itu semua aturan Tuhan.

“Mohon orang mendoakan kami segera dikurniakan zuriat kelak,” ujarnya.

NADIYAH memberitahu, suaminya Ben Ali tidak pernah memaksa dirinya untuk meninggalkan dunia lakonan untuk fokus terhadap perniagaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI