TAIPING – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Taiping mengalami kerugian kira-kira RM200,000 sebulan akibat aktiviti curi elektrik untuk kegunaan perlombongan bitcoin secara haram di dua buah premis di Kamunting di sini sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya memandang serius kegiatan mencuri elektrik untuk melombong bitcoin yang semakin banyak berlaku kebelakangan ini.
“Ekoran itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama TNB Zon Utara melancarkan operasi membanteras kegiatan mencuri elektrik di daerah ini dalam Ops Bersepadu Bitcoin.
“Hasil operasi yang dijalankan, dua lelaki tempatan berusia 19 dan 34 tahun yang terlibat dalam aktiviti haram itu ditahan semalam selepas dipercayai membuat sambungan elektrik tanpa meter bagi tujuan melombong bitcoin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah bekas pegawai polis wanita zaman British, Inspektor Siti Hawa Mohd. Yusof, 85, di kediamannya di Kampung Larut Tin di sini hari ini.
Tambah Osman, kedua-dua suspek tersebut menjadikan bangunan atau premis tidak berpenghuni serta jauh dari kawasan penempatan penduduk bagi menjalankan aktiviti mereka.
“Mereka berdua dipercayai menjalankan aktiviti tersebut sejak tiga bulan lalu dan polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi tujuan berkenaan.
“Antara barangan yang dirampas di dua premis tersebut termasuk 287 unit mesin melombong bitcoin bersama penjana kuasa, dua unit komputer, suis utama elektrik (4) dan kabel elektrik,” katanya.
Katanya, kesemua barang rampasan dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut manakala dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah seksyen 379 dan 427 kanun keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Osman berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan pesara polis atau warisnya bagi menyampaikan bantuan e-pesara yang diperkenalkan kerajaan.
Katanya, lawatan yang diadakan tersebut akan memudahkan pesara atau warisnya mengisi borang maklumat secara manual bagi melayakkan mereka menerima bantuan secara sekali bayar dan kurniaan pingat.-K!ONLINE