PUTRAJAYA – Pemansuhan syarat i-Sinar baru-baru ini membabitkan perubahan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ia akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-41, hari ini.
Menurutnya, KWSP juga memerlukan masa untuk membekukan transaksi buat sementara waktu bagi membolehkan sistem mengkreditkan dividen tahun lalu ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen dibuat akhir bulan ini.
“Pemansuhan syarat i-Sinar pada 11 Februari lalu mempermudahkan ahli membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1 dan langkah itu diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan telah berbincang dengan pihak KWSP untuk mempermudahkan proses kelulusan terutamanya bagi mereka yang telahpun membuat permohonan, atau permohonannya sedang diproses.
“Ini akan melibatkan perubahan kepada sistem KWSP yang akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sebarang risiko yang berpotensi untuk menggugat prospek pertumbuhan negara terutama daripada aspek kesihatan awam. -K! ONLINE