fbpx

SPRM tumpaskan sindiket rasuah jualan setem hasil kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga individu direman hari ini dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tujuh ahli sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta.

Ketujuh-tujuh yang terlibat berusia di antara 30 hingga 39 tahun terdiri dari empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

Difahamkan, tiga daripada tujuh suspek terbabit direman enam hari mulai hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya, manakala empat lagi direman lima hari bermula semalam.

Sumber SPRM berkata, sejumlah 2,500 keping setem hasil bernilai RM10 hingga RM250 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta telah dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, setem hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60 manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

“Setem hasil ini selalu digunakan oleh orang ramai sebagai bayaran duti setem bagi suatu perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat POS dan Cawangan LHDN,” katanya.

Menurut sumber lagi, sindiket itu juga turut menjual Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen.

Katanya,  setiap PLKS itu dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping.

“Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 yang dikeluarkan oleh JIM mengikut sektor pekerjaan yang dipohon,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket ialah bayaran rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan stiker PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

“Sindiket ini dipercayai telah melakukan aktiviti mereka sejak tiga tahun dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI