SEBERANG PERAI – Sebanyak 57 batang pokok kaktus antara produk pertanian yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) semasa pemeriksaan di sebuah pejabat pos di Bukit Mertajam di sini semalam.
Operasi kira-kira pukul 2.30 petang yang turut disertai Jabatan kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang itu mendapati cubaan membawa masuk konsainan keluaran pertanian dan haiwan tanpa permit import dari beberapa negara.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan di mel dan kurier pos itu menemui beberapa bungkusan yang mengandungi keluaran pertanian dan haiwan milik warga tempatan tanpa dokumen yang sah.
“Kita menahan 57 batang kaktus dalam pelbagai bentuk dan spesis seberat 30.85 kilogram dianggarkan bernilai RM2,224 selepas menemuinya di dalam bungkusan dari Thailand.
“Selain itu, terdapat kes melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an yang didapati mengimport secara kurier 15 paket biji benih premium pelbagai spesis pokok bernilai RM285 dari Amerika Syarikat.
“Kita turut menyita 35 paket makanan burung yang dipos dari Belanda bernilai RM800,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua dagangan berkenaan adalah untuk tujuan dipasarkan tanpa sebarang dokumen import yang sah.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – K! ONLINE